18 October 2011

Hj Hadi bersekongkol dengan DAP tolak Hudud

KUALA LUMPUR 17 Okt – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang termasuk Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dicabar memberikan penjelasan lebih lanjut berhubung persetujuan bersama antara parti itu dengan DAP berhubung hukum hudud di dalam satu mesyuarat sulit baru-baru ini.

Pengerusi Biro Agama Pemuda UMNO, Ustaz Hj Mohd Afandi Yusof berkata keputusan mesyuarat itu yang dikatakan berakhir dengan “DAP dan Pas bersetuju untuk tidak bersetuju mengenai undang-undang Hudud dan Hudud bukanlah agenda bersama Pakatan Rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang” memerlukan penjelasan lebih lanjut daripada kepimpinan parti berkenaan.

Tegas beliau apa yang diutarakan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng itu seolah-olah memberi gambaran bahawa Pas secara berlapik menolak hukum berkenaan dan masih setia mengikat janji untuk bersama dengan sekutu mereka di dalam pakatan pembangkang.

“Jika benar mesyuarat itu wujud dan jika benar apa yang diperkatakan oleh Guan Eng itu, alangkah malangnya penyokong mereka khususnya golongan “totok” yang selama ini sanggup mengkafirkan orang-orang UMNO kerana dikatakan menolak hudud.

“Sedangkan hari ini kita boleh tengok bagaimana kepimpinan mereka sendiri yang menolak hukum tersebut malah lebih menyedihkan terpaksa tunduk kepada golongan kuffar demi kuasa dan kepentingan politik mereka di dalam pakatan pembangkang.

“Sebab itulah kita minta penjelasan kerana ini yang akan diperkatakan di akar umbi. Kalau betul nak perjuangkan sila sebutkan dengan jelas dan bagaimana pula dengan persetujuan bersama di dalam mesyuarat sulit itu. Apa pun sudah terang ianya satu sandiwara oleh puak-puak tok guru yang bertopengkan perjuangan Islam di dalam Pas,” katanya kepada UMNO-Online.

Ketika mengesahkan pertemuan pada Isnin itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilaporkan berkata keputusan mesyuarat itu berakhir dengan “DAP dan Pas bersetuju untuk tidak bersetuju mengenai undang-undang Hudud dan Hudud bukanlah agenda bersama Pakatan Rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Dilaporkan juga DAP dan Pas terus menghadapi kebuntuan berhubung kontroversi undang-undang hudud selepas mengadakan satu lagi “mesyuarat sulit” di ibu pejabat DAP di sini.

Kedua-dua parti sekutu Pakatan Pembangkang itu mengadakan pertemuan dengan PKR sebagai usaha mencari penyelesaian dalam isu rumit mengenai cadangan Pas untuk melaksanakan undang-undang Hudud di Kelantan.

Ini merupakan pertemuan kedua diadakan dalam tempoh dua minggu yang turut disertai para pemimpin tertinggi Pakatan.

Mereka termasuk ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalan presiden Azmin Ali, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, pengerusi kebangsaan Karpal Singh dan Setiausaha Agung Lim Guan Eng, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu serta Setiausaha Agung Pas, Mustafa Ali.

Ustaz Afandi yang juga Ketua Pemuda Rantau Panjang seterusnya menambah, jika itulah keputusan mereka bermakna segala seminar dan segala apa jua program yang berkaitan hudud di Kelantan hari ini adalah satu lakonan semata-mata.

“Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut tetapi melihat kepada apa yang dilaporkan itu, Nik Aziz nampaknya berbohong kepada rakyat Kelantan. Paling sedih penyokong mereka yang sanggup berhujan dan berpanas mengunjungi ceramah dan program yang diadakan di ceruk pelusuk negara rupa-rupanya ditipu mentah-mentah,” katanya.

- Media UMNO

Artikel berkait

No comments:

Post a Comment