10 September 2011

Doa Azlee ketika berada di Mekah

AZLEE dikenali ramai sebagai pelawak bersama kumpulan Senario sejak awal tahun 1990-an. Di atas pentas persembahan, keletahnya yang kelihatan agak ‘gila-gila’ mudah untuk menghiburkan para peminatnya. Bagaimanapun, pelawak popular berusia 44 tahun ini menyedari dalam senda guraunya sewaktu berlawak, ia mungkin kurang disenangi segelintir pihak. Azlee juga sering bimbang jika ia boleh menguris hati seseorang.


Justeru, bapa kepada dua orang anak ini sentiasa bermuhasabah tentang dirinya. Peluang itu antaranya, digunakan termasuklah sewaktu dia mengerjakan umrah di Mekah pada tahun 2006. Azlee kuat berdoa sewaktu berada di sana hampir dua minggu.

Menurut Azlee, antara doa yang dipanjatkannya ke hadrat Allah ialah agar dia diberi taufik serta hidayah dalam meneruskan mata pencariannya sebagai pelawak dan pelakon. Itu adalah sumber pendapatannya dalam bidang seni sejak hampir 20 tahun lalu.

“Sewaktu mengerjakan umrah itu, saya banyak berdoa kepada Allah terutama ketika berada di Masjidil Haram. Saya mohon agar Allah beri petunjuk kepada saya dalam meneruskan kerjaya dalam bidang ini. Di situ saya mendapat kekuatan.

“Saya banyak meminta ampun kepada Allah jika pembabitan saya dalam bidang selama ini pernah menimbulkan dosa tanpa disedari. Niat saya cuma satu iaitu mahu cari makan dengan bakat yang dikurniakan oleh Allah. Saya mahu menyara keluarga saya.

“Mudah-mudahan doa dan taubat saya itu diperkenankan oleh Allah,” katanya dalam nada bersungguh-sungguh semasa ditemui di rumahnya di Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.

Sewaktu mengerjakan umrah, pelawak berasal dari Skudai Kiri, Johor ini turut membawa isterinya Aslinda Ayob, 40, dua anaknya, Siti Amaliah, 10 bulan dan Siti Aishah, 7 tahun serta ibu mertuanya, Sely Abd Wahab, 51 dengan kos mereka mencecah RM25,000.

Jelas Azlee, selepas pulang dari Mekah dia banyak berubah termasuklah mendalami ajaran Islam, menghayati perjuangan Nabi Muhammad dan membataskan pergerakkannya dalam bidang lakonan agar ia tidak melanggar hukum syarak.

“Saya juga banyak berjumpa ustaz bagi bertanyakan tentang kerjaya saya sebagai pelakon. Sebab itu, banyak perkara yang saya bataskan sewaktu berlakon. Misalnya, tidak bersentuhan dengan wanita bukan muhrim.

“Selain itu, niat saya bukan sahaja mahu mencari rezeki tetapi saya berharap agar lakonan saya itu sebagai ibadah. Saya harap ia dapat memberi manfaat kepada para penonton dengan cara menghiburkan hati mereka,” ujarnya dalam nada bersungguh-sungguh.

Pemilik nama sebenar Mohd. Azlee Jaafar ini berkata, peluang mengerjakan umrah anjuran Kumpulan Media Prima Berhad itu tidak disia-siakannya dengan melawat tempat-tempat bersejarah di Tanah Suci itu.

Antara tempat yang menjadi kegemarannya ialah Makam Nabi Muhammad SAW di mana di tempat suci itulah air matanya mudah untuk tertumpah setiap kali dia menziarahi nabi terakhir yang diutuskan oleh Allah ke atas umat manusia itu. Ia tersentuh tanpa disedari.

“Saya memang seorang yang suka melawak tetapi apabila berada di makam Rasulullah, hati saya mudah sebak hingga mengalirkan air mata. Saya menangis macam budak-budak kecil sewaktu berada di sana. Saya pun tidak tahu kenapa. Susah hendak menjelaskannya.

“Mungkin kerana mengenangkan jasa dan pengorbanan Rasulullah kepada kita semua menyebabkan hati saya tersentuh. Malah, saya bersyukur kerana segala urusan saya semasa di sana dipermudahkan Allah. Saya mudah untuk beribadah.

“Contohnya, saya dapat berada di sisi makam Rasulullah biarpun ia dikawal ketat oleh pihak berkuasa di sana. Malah, saya dan anggota-anggota keluarga saya semuanya sihat sepanjang mengerjakan umrah,” jelasnya yang terus setia bersama Senario hingga kini.

Meskipun sudah lima tahun dia mengerjakan umrah itu yang turut disertai dua lagi anggota Senario iaitu Lan Pet-Pet dan Wahid, tetapi dia berazam mahu menjejakkan lagi kakinya ke Mekah selain menunaikan ibadat haji pada masa depan. Itu adalah matlamatnya.

Azlee yang telah membintangi lebih 20 buah filem sejak tahun 1999 kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri 13 episod lakonannya berjudul Naik Lif Turun Tangga arahan Jamal Khan bergandingan dengan Noorkhiriah. Ia akan ditayangkan di TV3 tidak lama lagi.

Artikel berkait

No comments:

Post a Comment