09 September 2011

Lelaki bebas tuduhan bunuh akibat bergaduh pasal kerbau!

Seorang tukang rumah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada tuduhan menyebabkan kematian jiran sekampungnya ketika berbalah bagi berebut seekor kerbau, dua tahun lalu.

Hakim Zainal L. Saleh memutuskan demikian terhadap Ismail Jusoh, 59, setelah mendapati tertuduh hanya mempertahankan diri dan tindakannya itu tidak melampaui hak yang ditetapkan oleh undang-undang.

''Setelah meneliti keterangan kedua-dua pihak, saya dapati tindakan tertuduh terjumlah kepada mempertahankan diri. Didapati mangsa bersama dua yang lain iaitu anak dan menantu mangsa yang telah pergi kepada tertuduh.

''Tertuduh dipegang oleh salah seorang daripada mereka. Mangsa juga didapati bertindak lebih agresif berbanding tertuduh dan walaupun cedera, mangsa menerkam tertuduh sehingga keempat-empat mereka terjatuh,'' katanya.

Ismail didakwa menyebabkan kematian Mohamed Jusoh, 73, di padang ragut Kampung Belimbing, Tanah Merah, dekat sini pada pukul 9 pagi, 19 Oktober 2009.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Salam Yusof manakala Ismail diwakili peguam Rosmizan Sulaiman.

Sebaik sahaja mahkamah mengumumkan keputusan berkenaan, Ismail dilihat tergamam sebelum keluar dari kandang tertuduh lalu dipeluk oleh ahli keluarga dan saudara-maranya dengan linangan air mata.

Bapa kepada lapan orang anak itu kemudian dilihat menadah tangan tanda kesyukuran di tepi kandang tertuduh.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Ismail memberitahu, dia bersyukur dengan keputusan mahkamah dan menyedari dia bertindak demikian demi mempertahankan diri.

''Kes ini berlaku apabila mangsa mendakwa kerbau saya ialah kerbau dia. Dalam perbalahan itu saya mendapat tiga jahitan di kepala,'' kata Ismail.

Artikel berkait

No comments:

Post a Comment