Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) mahu satu siasatan segera untuk menentukan kesahihan laporan akhbar milik Umno itu.
“Ini perlu disiasat. Jika benar, kita perlu berhati-hati,” kata Presiden Pembela Dr Yusri Mohamad.
Yusri berkata Pembela akan membuat laporan polis dalam waktu terdekat.
“Kita perlu mencari kebenaran. Saya akan menghantar wakil untuk membuat satu laporan polis selepas ini,” katanya pada satu majlis di sini hari ini.
Utusan Malaysia edisi hari ini membawa laporan muka depan berdasarkan tulisan dibawa beberapa blogger pro-Umno.
Blog-blog itu menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara untuk menjadikan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri, dengan menunjukkan gambar berbintik-bintik yang didakwa mereka sebagai pakatan rahsia antara DAP dan pastor-pastor di sebuah hotel di Pulau Pinang, Rabu lalu.
Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan syarat agama atau kaum bagi seseorang menjadi perdana menteri. Pertubuhan National Evangelical Christian Fellowship (NECF) bersama Global Day of Prayer, Marketplace Penang dan Penang Pastors Fellowship menegaskan dakwaan terhadap komuniti adalah pembohongan dan telah pun menafikan dakwaan blogger berkenaan malam tadi.
Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi juga menafikan dakwaan kononnya beliau menganjurkan satu majlis pertemuan paderi dari seluruh negara, yang didakwa turut membincangkan agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan, sekali gus melantik Perdana Menteri dalam kalangan penganut agama itu.
Menurut wakil rakyat DAP itu, beliau hanya menghadiri majlis kesyukuran yang diadakan secara tertutup untuk paderi-paderi tersebut sebagai tetamu.
No comments:
Post a Comment